KENINGAU: Timbalan Penyelaras Parlimen Keningau, Dato’ Ishak Ayub, menyerahkan sumbangan gulungan permaidani kepada Surau Kampung Tagai, Apin-Apin, di sini, hari ini, sebagai usaha menambah keselesaan jemaah dan memperindah ruang solat.
Menurut Ishak, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Pejabat Penyelaras Parlimen Keningau dalam membantu rumah-rumah ibadah yang memerlukan kemudahan asas.
“Permaidani ini bukan sekadar keperluan fizikal, tetapi simbol kasih dan sokongan terhadap masyarakat Islam luar bandar yang sentiasa menjaga keharmonian dan perpaduan,” katanya selepas majlis penyerahan berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa surau dan penduduk Kampung Tagai yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan dalam mengekalkan suasana aman serta harmoni di kawasan itu.
Ishak berkata, pihaknya akan terus meninjau keperluan rumah ibadah lain di sekitar Keningau bagi memastikan masyarakat dapat beribadah dalam suasana yang selesa dan kondusif.
Sementara itu, wakil jemaah surau menzahirkan terima kasih atas sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai bukti keprihatinan pemimpin terhadap kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.-pr/BNN





