KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Robert Tawik, menafikan sekeras-kerasnya kenyataan palsu yang tular kononnya dikeluarkan oleh beliau berhubung pendirian terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau menegaskan, kenyataan yang mendakwa beliau menafikan seruannya kepada ahli dan penyokong STAR supaya terus menyokong GRS itu tidak pernah dikeluarkan olehnya dan disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang bertujuan mengelirukan masyarakat serta mencemarkan reputasinya.
“Kenyataan itu adalah palsu dan langsung tidak mewakili pendirian saya. Saya kekal menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan GRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Robert menjelaskan bahawa beliau telah pun menyatakan pendiriannya secara rasmi pada 30 Oktober lalu, menyeru ahli serta penyokong STAR agar terus bersama GRS demi kestabilan politik dan kemajuan negeri Sabah.
Menurutnya, meskipun beliau menghormati keputusan STAR untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, keutamaan ketika ini ialah menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah kerajaan GRS.
Beliau turut mengingatkan media dan orang ramai supaya tidak menyiarkan atau menyebarkan kenyataan yang tidak sahih serta hanya merujuk kenyataan rasmi yang disahkan melalui saluran komunikasi beliau.-pr/BNN





