KENINGAU: Golongan belia di Kampung Rezab Lambanga menyatakan komitmen padu untuk terus menyokong kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan suara anak muda di Bingkor kekal kuat serta kesinambungan pelaksanaan agenda pembangunan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR 2.0) dan Sabah Maju Jaya (SMJ 2.0) dapat diteruskan demi masa depan yang lebih maju.
Suasana santai petang di kampung itu bertukar menjadi sesi kupi-kupi penuh semangat apabila Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Rafie Robert, turun padang bertemu komuniti belia bagi membincangkan isu semasa dan hala tuju politik Sabah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.
Dalam pertemuan itu, Rafie menegaskan bahawa GRS telah membuktikan kemampuan memacu pelbagai inisiatif pembangunan yang menyentuh kepentingan rakyat di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar seperti Bingkor.
“Anak muda perlu terus bersama GRS supaya pembangunan yang telah dirancang tidak terhenti di tengah jalan.
BMBR mesti diteruskan demi masa depan Bingkor yang lebih baik,” tegas beliau.
Beliau turut berkongsi perkembangan positif di bawah pelaksanaan BMBR 2.0, yang memberi impak nyata kepada penduduk luar bandar melalui penyediaan infrastruktur asas, peningkatan kebajikan rakyat serta peluang ekonomi baharu yang membantu menjana pendapatan komuniti.
Sementara itu, wakil belia kampung, Abdul Mutalip Asun @ Anuar, berkata perubahan yang dibawa oleh kerajaan pimpinan GRS telah memberi harapan baharu kepada generasi muda di kawasan itu.
“Kami sebagai anak muda merasai sendiri perubahan yang dilakukan oleh kerajaan, bukan saja di kampung kami tetapi di seluruh Sabah. GRS telah membawa pembangunan dan peluang yang membuka masa depan lebih baik untuk kami.
Sebab itu kami akan terus berdiri teguh menyokong GRS,” katanya penuh yakin.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform penting bagi mendengar suara serta keperluan anak muda, selain menggalakkan mereka menyumbang idea dan tenaga dalam usaha memajukan kampung.
Rafie berkata, GRS sentiasa membuka ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai program pembangunan komuniti dan keusahawanan bagi memastikan visi pembangunan inklusif dapat dicapai tanpa meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat.
Belia Rezab Lambanga turut menyatakan kesediaan mereka untuk memainkan peranan lebih besar dalam gerak kerja komuniti dan aktiviti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, sebagai tanda sokongan terhadap agenda pembangunan berterusan di bawah kepimpinan GRS.-pr/BNN





