KENINGAU: Program Ziarah Kasih DUN N.41 Liawan terus menyemai nilai keprihatinan apabila isteri Datuk Annuar Ayub Aman, Yang Mulia Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, turun padang menyantuni warga emas, ibu tunggal dan keluarga memerlukan di seluruh pelosok kawasan Liawan.

Dalam program yang berlangsung penuh mesra itu, Tengku Marita menegaskan kehadiran mereka bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membawa mesej kasih sayang dan penghargaan kepada rakyat.

“Kami datang bukan hanya untuk memberi sumbangan, tetapi untuk memberi perhatian dan harapan. Kami mahu rakyat Liawan tahu bahawa mereka tidak pernah dilupakan,” katanya dengan penuh keikhlasan.

Bagi Annuar, inisiatif itu mencerminkan pendekatan kepimpinan yang berpaksikan nilai kemanusiaan, di mana pemimpin mesti turun mendengar dan merasai sendiri denyut nadi rakyat.

“Kami tidak hanya bercakap tentang perubahan, tetapi hidup dan bekerja bersama rakyat untuk mencapainya,” katanya.

Program Ziarah Kasih menjadi lambang kepimpinan berjiwa rakyat yang bukan sekadar menyalurkan bantuan fizikal, tetapi menyentuh hati setiap penerima dengan keikhlasan dan empati. Ia juga memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat, menjadikan Liawan sebuah komuniti yang semakin kuat dan penuh kasih sayang.-pr/BNN