MENUMBOK: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor sebagai calon mempertahankan kerusi itu, berjanji untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat di kawasan itu.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama menjayakan perancangan yang digariskannya menerusi `Aspirasi Menuju Transformasi’ yang diperkenalkannya.

“Sejak saya diberi amanah sebagai wakil rakyat Kuala Penyu pada tahun 2013, pelbagai usaha dan inisiatif telah kita jalankan bersama di kawasan ini, demi membawa perubahan dan kemajuan,” katanya.

Terdahulu, Hajiji merasmikan pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Kuala Penyu, Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ, Perasmian Masjid Nur Ihsan, Penyerahan Warta Tanah dan Penyampaian Bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury, di Tapak Tamu Menumbok, di sini.

Limus berkata di bawah slogan `Aspirasi Menuju Transformasi’, beliau merancang pelbagai agenda untuk menjadikan Kuala Penyu sebagai daerah maju, makmur dan sejahtera.

“Hari ini, kita dapat melihat sendiri hasil usaha bersama itu. Kuala Penyu semakin berubah wajah, dengan pelbagai projek pembangunan, prasarana dan kemudahan baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Di hadapan Ketua Menteri dan warga Kuala Penyu serta Menumbok pada hari ini, saya berjanji akan terus berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau yakin dengan sokongan padu rakyat, segala perancangan itu akan dapat dicapai.

Terdahulu dalam ucapannya, Limus turut berikrar di hadapan Ketua Menteri kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pimpinan negeri.

“Saya berdiri di sini sebagai bukti nyata bahawa saya tetap bersama kerajaan GRS, bersama pimpinan negeri, tidak berganjak walau seinci pun, demi rakyat Kuala Penyu dan Menumbok.

“Jangan biarkan fitnah dan cerita politik pembangkang mengganggu usaha pembangunan yang sedang berjalan,” tegasnya.-pr/BNN