KENINGAU: Program Santai bersama Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert, di Kampung Liau Laut berlangsung dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan, menyerlahkan semangat kebersamaan rakyat luar bandar yang mahu melihat kesinambungan pembangunan di kawasan Bingkor.
Program tersebut menarik penyertaan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan warga veteran yang mengambil peluang berinteraksi secara langsung bersama kepimpinan Pemuda GRS.
Dalam sesi tersebut, Rafie menjelaskan bahawa rakyat Bingkor perlu terus memberi mandat kepada GRS bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta Pelan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang kini giat dilaksanakan.
“Pembangunan yang dinikmati rakyat Bingkor hari ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil perancangan teliti serta pelaksanaan berterusan kerajaan GRS yang sentiasa peka terhadap keperluan rakyat luar bandar,” katanya.
Rafie menegaskan, kesinambungan pentadbiran GRS amat penting agar segala perancangan strategik yang telah digerakkan tidak terhenti di pertengahan jalan.
“GRS Bingkor mempunyai kesinambungan perancangan BMBR 2.0 untuk diteruskan demi pembangunan menyeluruh di kawasan ini,” tegasnya.
Program berkenaan turut memperlihatkan keyakinan penduduk terhadap keupayaan GRS dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan seimbang di Bingkor.
Rata-rata penduduk yang hadir menyatakan sokongan agar kerajaan GRS terus diberi peluang meneruskan agenda membangun rakyat tanpa gangguan politik yang boleh menjejaskan kemajuan luar bandar.
Penduduk Kampung Liau Laut juga menyuarakan harapan agar lebih banyak kemudahan asas, peluang ekonomi serta program pembangunan belia dapat dipertingkatkan pada masa depan. Mereka percaya kepimpinan GRS merupakan kunci kepada masa depan yang lebih baik untuk generasi setempat.
Wakil belia kampung berkenaan, Harry Francis, menegaskan bahawa golongan muda mahu menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan yang telah dirancang kerajaan GRS.
“Kami anak muda Liau Laut yakin hanya GRS yang mampu membawa kesinambungan pembangunan di Bingkor. Kami akan terus bersama GRS kerana kami mahu masa depan kami terus maju,” katanya.
Dengan sokongan akar umbi yang semakin kukuh, rakyat Liau Laut menyatakan komitmen untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan GRS, memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Bingkor dapat diteruskan secara mampan dan menyeluruh.-pr/BNN





