PUTATAN: Aktiviti gotong royong memainkan peranan penting dalam menyatukan komiti setempat sambil memastikan tahap kebersihan di daerah Putatan terus terjaga dan kondusif.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, selain elemen kesedaran di kalangan penduduk, program dan aktiviti sedemikan juga mampu meningkatkan sosio budaya mementingkan kebersihan terutamanya di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, bagi kita di peringkat Parlimen Putatan, semua program berbentuk komuniti yang menjalankan aktiviti gotong royong amat digalakkan dan diberikan sokongan kuat.
“Selain daripada memastikan kebersihan di kawasan Putatan, aktiviti seumpama ini secara tidak langsung mengikat ukhuwah sesama komiti setempat dan kawasan di sekitar mereka, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program gotong royong melibatkan penduduk Kampung Sri Pandan dan Taman Pantai Lok Kawi, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Shahelmey pada sama mahu masyarakat di lokaliti-lokaliti Putatan secara amnya terbabit aktif dengan program melibatkan kebersihan dan aktiviti sihat di masa hadapan.
“Kalau boleh, program gotong royong ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
“Meskipun kita mempunyai pihak berwajib seperti PBT dan Majlis Daerah yang terlibat dengan penyelenggaraan sampah dan sebagainya, namun demikian, kesedaran itu amat penting kerana dengan adanya persekitaran yang bersih, kondusif dan selesa, ia mampu memberikan motivasi kepada kita melakukan rutin harian, persekolahan dan kerjaya, “katanya. – pr/BNN





