KOTA KINABALU: Dalam perlembagaan Parti UPKO, salah satu matlamat penubuhan Parti adalah memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perjuangan Parti UPKO ini juga berdasarkan kepada dokumen-dokumen asas perlembagaan (constitutional foundation documents) iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.

⁠Penghormatan kepada sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang diterjemah melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan ini seharusnya menjadi asas kepada halatuju dan masa depan Persekutuan Malaysia.

Ini termasuk penghormatan, pengiktirafan dan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah sepertimana dalam Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Saya telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Celestina Stuel Galid ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

⁠Pendirian dan pandangan yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya MENGABAIKAN sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan.

Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut..

⁠AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.

⁠Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka. Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO.

Saya juga pernah memfailkan Saman Pemula (OS) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada bulan Jun 2022 berkaitan hak 40 peratus Sabah ini dan hanya bersetuju menarik semula OS ini pada September 2023.

⁠Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan. Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik.

Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.

⁠Saya telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.

Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan. Namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di Mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu.

⁠Atas sebab itu, saya berpegang kepada prinsip saya, sepertimana dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah.

⁠Saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju Parti UPKO.

EWON BENEDICK
8 November 2025