KENINGAU: Program Santai Malam bersama penduduk Kampung Melidang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat apabila komuniti setempat sebulat suara menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Program itu dihadiri oleh Harry Gitik, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik, dan Mohd Khairi Mabin yang mewakili Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Rafie Robert.
Dalam pertemuan itu, mereka berkongsi pandangan mengenai pentingnya kesinambungan perjuangan GRS dalam memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan di kawasan luar bandar.
Penduduk Kampung Melidang menyatakan keyakinan bahawa hanya GRS mampu meneruskan dasar pembangunan yang telah terbukti membawa manfaat kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman seperti Bingkor.
“GRS bukan sekadar gabungan politik, tetapi wadah perjuangan untuk memastikan rakyat Bingkor menikmati pembangunan yang adil dan berterusan,” kata Mohd Khairi.
Sementara itu, Haji Yazid, Ketua PDM GRS Keningau Station, menegaskan bahawa kestabilan politik perlu dikekalkan agar agenda pembangunan di bawah Pelan Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dan Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat diteruskan.
“Rakyat Bingkor sudah melihat hasilnya. GRS akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat,” katanya.
Ketua PDM GRS Kampung Liau pula menambah, GRS telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan luar bandar dan percaya sokongan rakyat Melidang akan terus kekal bersama GRS.
Ketiga-tiga mereka turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penduduk Kampung Melidang atas sokongan tidak berbelah bahagi serta semangat luar biasa yang ditunjukkan sepanjang program berkenaan.





