KOTA KINABALU : Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah diadakan pada 11 November 2025 bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera.
Pada mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.
Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974.
Selain itu, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.
Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
JABATAN PEGUAM NEGARA
11 NOVEMBER 2025





