PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, turun meninjau lokasi kebakaran di Kampung Petagas, pagi tadi yang melibatkan empat kediaman penduduk.

Kebakaran berlaku antara jam 9.30 hingga 10 pagi, membabitkan tiga rumah hangus sepenuhnya dan sebuah lagi terjejas teruk.

Shahelmey hadir ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dan bertemu keluarga mangsa bagi memberikan sokongan moral serta bantuan awal.

Beliau berkata, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengawal kebakaran sebelum merebak ke rumah lain, walaupun kedudukan rumah di kampung tersebut rapat.

“Alhamdulillah, api berjaya dikawal. Kita akan pastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, pihaknya akan memantau situasi dan membantu penduduk menguruskan kesan kebakaran.

Shahelmey juga menyeru komuniti supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan untuk mengelak kejadian sama berulang.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba. – pr/BNN