KOTA KINABALU: “Kasih kepada rakyat bermula dengan perkara paling asas — memberi tempat untuk mereka berehat ketika penat menunggu.”

Demikian luahan orang awam yang merayu supaya kemudahan bangku panjang disediakan di ruang hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini.

Ketiadaan tempat duduk di kawasan menunggu itu memaksa pengunjung berdiri berjam-jam, sementara ada yang terpaksa duduk di tepi laluan pejalan kaki. Keadaan itu paling menjejaskan warga emas, ibu bersama anak kecil serta ahli keluarga yang sedang cemas menunggu perkembangan pesakit.

Bagi mereka, permintaan ini bukanlah satu tuntutan besar — hanya sebuah ruang untuk melepaskan lelah ketika berdepan saat genting. Namun keperluan kecil itu membawa makna besar bahawa kawasan menunggu paling kritikal di hospital negeri wajar disediakan kemudahan selesa dan lebih mesra rakyat.

Permintaan itu juga mencerminkan harapan masyarakat agar aspek kebajikan asas di fasiliti kesihatan terus dipertingkat, selari dengan peranan hospital sebagai pusat rawatan utama yang mendukung nilai kemanusiaan.-pr/BNN