KOTA KINABALU: Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu hari ini melancarkan Program MENIKUM (Menikah untuk Melindungi) atau Pengesahan Perkahwinan bagi Periode Kedua Tahun 2025, yang berlangsung dari 18 hingga 21 November di pejabat KJRI.

Program ini merupakan salah satu perkhidmatan keutamaan KJRI yang bertujuan memberi kepastian hukum terhadap status perkahwinan dan status anak bagi warga negara Indonesia (WNI) di Sabah.

Majlis pelancaran dihadiri wakil Mahkamah Agama Indonesia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Agama dan Kementerian Luar Negeri, mencerminkan kerjasama erat antara agensi dalam penyampaian perkhidmatan awam bersepadu kepada masyarakat Indonesia di luar negara.

Bagi periode kali ini, 350 peserta telah berdaftar terdiri daripada 150 pasangan Muslim yang menjalani itsbat nikah dan 25 pasangan bukan Muslim yang melalui pengesahan perkahwinan sivil.

Para peserta datang dari pelbagai kawasan ladang dan daerah dalam wilayah kerja KJRI. Mengambil kira permintaan tinggi, KJRI melaksanakan sistem kuota bagi memastikan kelancaran dan kecekapan perkhidmatan.

Program MENIKUM yang mula diperkenalkan pada 2011 terus mendapat sambutan positif masyarakat Indonesia, sehingga menjadi antara inovasi unggulan perkhidmatan awam KJRI.

Sebagai perkhidmatan bersepadu sepenuhnya, peserta menerima semua dokumen sivil utama dalam satu proses, termasuk pengesahan perkahwinan, penerbitan Nombor Induk Tunggal (NIT) oleh Kementerian Dalam Negeri, Buku Nikah oleh Kementerian Agama serta sijil pendaftaran kelahiran yang dikeluarkan KJRI.

Model ini mempercepat penyediaan dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan nasional, kad keluarga dan sijil lahir anak—dokumen yang sebelum ini sukar diperoleh WNI di kawasan ladang terpencil.

Dalam ucapannya, Konsul Jenderal Noorman Effendi menegaskan bahawa MENIKUM mencerminkan komitmen nyata pemerintah Indonesia dalam memberikan perlindungan hukum kepada warganya di luar negara.

“MENIKUM adalah manifestasi tanggungjawab negara sebagaimana diamanatkan Perlembagaan. Melalui pengesahan perkahwinan, pasangan memperoleh kepastian hukum sebagai asas masa depan keluarga dan anak-anak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya menjaga dokumen rasmi seperti keputusan mahkamah, buku nikah dan sijil lahir kerana dokumen ini menjadi asas bagi semua urusan pentadbiran masa depan.

Program ini telah disenaraikan dalam 40 Terbaik Inovasi Perkhidmatan Awam Nasional Indonesia sejak 2018 dan terus dipantau oleh Kementerian Pendayagunaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi. MENIKUM mengangkat nilai Beyond Protection dan Service Excellence Beyond Expectation, seiring matlamat KJRI memberikan perkhidmatan konsular berkualiti tinggi berasaskan kepentingan warga.

Konsul Jenderal turut menggesa generasi muda Indonesia agar mendaftarkan perkahwinan mereka menurut prosedur undang-undang sejak awal, bagi mengelakkan keperluan itsbat nikah pada masa depan.

“Pengesahan perkahwinan ialah mekanisme pembetulan atas kekurangan pentadbiran lampau, bukan pengganti prosedur hukum yang sepatutnya,” ujar beliau.

KJRI berharap pelaksanaan MENIKUM periode kedua tahun 2025 berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada semua peserta, sekali gus memastikan WNI di Sabah menerima perlindungan hukum yang sewajarnya serta peluang sama untuk membina keluarga yang selamat, harmonis dan terdokumentasi dengan baik.-BNN