KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penerimaan perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau serta jaminan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan politik.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata tindakan Datuk Seri Shamsul Iskandar meletakkan jawatan secara sukarela adalah satu bentuk pertanggungjawaban yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap prinsip integriti dan tatakelola yang baik.
Menurutnya, keputusan tersebut menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu dalam kerajaan yang kebal daripada proses undang-undang, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap reformasi institusi yang dipelopori Kerajaan MADANI.
“Semua tuduhan perlu disiasat dengan adil dan profesional. SPRM mesti diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan mengikut prosedur tanpa tekanan politik,” katanya.
Mengulas perkembangan politik semasa, beliau berkata kempen fitnah dan manipulasi isu dijangka meningkat mendekati Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah.
Mustapha menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan taktik provokasi, adu domba dan propaganda yang hanya bertujuan mengelirukan masyarakat.
“Masa depan Sabah tidak boleh ditentukan oleh permainan elit politik. Ia mesti dibina atas fakta, kejujuran dan dasar yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya
KEADILAN Sabah, katanya, kekal komited memperjuangkan agenda reformasi, mengangkat suara rakyat dan memastikan negeri ini menikmati pemerintahan yang bersih, stabil serta bertanggungjawab.
“Kami akan terus bersama rakyat Sabah dalam memastikan arah pentadbiran negeri berlandaskan integriti dan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.-pr/BNN





