KOTA KINABALU: Jenama makanan dan minuman tempatan dari Sabah, A1 Chicken Rice, mencatat sejarah apabila dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori “Most Sold Chicken Rice Kids’ Meals in a Day” selepas berjaya menjual lebih 2,000 hidangan Chicky Meals dalam tempoh 24 jam.
Anugerah berkenaan disampaikan pada majlis sambutan Tahun Baharu yang berlangsung di cawangan A1 Chicken Rice Lintas, di sini, hari ini.
Pengiktirafan itu menjadi pencapaian penting buat jenama yang ditubuhkan pada tahun 2010, sekali gus membuktikan komitmen A1 Chicken Rice dalam menyediakan hidangan berkualiti kepada masyarakat Sabah.
Pengasas bersama A1 Chicken Rice, Benny Hon, berkata kejayaan mencipta rekod kebangsaan itu merupakan satu kebanggaan besar kepada seluruh pasukan, selain mencerminkan usaha berterusan jenama tersebut dalam menyajikan makanan lazat menggunakan bahan segar untuk seisi keluarga.
“Pencapaian ini bukan sahaja hasil kerja keras pasukan kami, tetapi juga selari dengan misi kami untuk menyediakan hidangan lengkap yang membuatkan keluarga dan kanak-kanak berasa selesa serta gembira ketika menjamu selera,” katanya.
Beliau turut menyifatkan majlis penyampaian anugerah itu sebagai detik bermakna kerana berlangsung di cawangan Lintas, iaitu restoran penuh pertama A1 Chicken Rice yang dibuka pada tahun 2014.
“Kami amat menghargai sokongan pelanggan sejak kami bermula dengan sebuah gerai kecil pada 2010 sebelum membuka cawangan pertama pada 2014,” katanya.
Sijil pengiktirafan MBR disampaikan kepada Benny Hon dan seorang lagi pengasas bersama, Lanice Ng, oleh pegawai Malaysia Book of Records.
Pada majlis sama, A1 Chicken Rice turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu termasuk pelancaran sistem E-Pesanan untuk pengambilan sendiri melalui laman sesawang rasmi a1chickenrice.com, pendedahan set menu Tahun Baharu Cina 2026 dengan promosi awal, serta penyampaian hadiah utama kempen “Chop & Win” berupa sebuah iPhone 17 kepada pemenang bertuah.
A1 Chicken Rice turut memaklumkan perancangan untuk membuka cawangan ketujuh di Kota Kinabalu pada tahun ini.-BNN




