KUALA LUMPUR: Pihak Persekutuan di minta memperhalusi pengagihan hasil petroleum negara selaras Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA1974) seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ahli Parlimen Tenom; Riduan Rubin berkata, Sabah kini menerima lima peratusroyalti daripada hasil petroleum, di bawah peruntukan PDA1974, namun, jumlah berkenaan tidak mencerminkan sumbangan besar negeri itu dalam sektor minyak dan gas.
“Jumlah ini tidak mencerminkan sumbangan besar Negeri Sabah dalam sektor minyak dan gas iaitu hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.
“MA63 ialah perjanjian penubuhan yang membahagikan kedaulatan, kuasa perundangan dan kawalan ekonomi dalam persekutuan Malaysia dan kekuatannya terletak pada penggabungannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah perlembagaan, tanah dan sumber asli berada di bawah bidang kuasa negeri dengan kedudukan ini wujud sejak 1963 dan kekal sehingga hari ini.
“Bagi Sabah, kuasa ini dilindungi lagi oleh perkara 95D yang menghalang undang-undang persekutuan mengenai perkara senarai negeri daripada terpakai tanpa Penerimaan Dewan Undangan Negeri, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Titah Tuanku Agong bersempena mesyuarat pertama penggal ke-lima, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, dalam perbahasan yang sama, Riduan turut menyentuh mengenai perkara nilai tambah industri getah negara dalam bidang farmaseutikal.
“Saya mencadangkan Kerajaan agar dapat menambah nilai industri getah dengan menerokai industri getah yang baharu seperti pasaran farmaseutikal.
“Saya difahamkan serum getah mengandungi 1-2 peratus L-Qubrachitol. L-Qubrachitol pula komponen digunakan dalam industri farmaseutikal iaitu ubat-ubatan.
“Oleh yang demikian, saya mohon Kerajaan agar dapat menerokai pasaran ini sekaligus dapat mengangkat industri getah ke tahap lebih tinggi, “katanya.-pr/BNN





