KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera susulan laporan media berhubung kewujudan parit tidak bertutup di kawasan Pejabat Pos Keningau yang dikhuatiri mengancam keselamatan orang awam.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pihaknya memandang serius pendedahan oleh akhbar The Borneo Post kerana lokasi terbabit merupakan laluan utama yang digunakan orang ramai setiap hari untuk berurusan di pejabat berkenaan.
Menurut beliau, keadaan parit yang terbuka jelas berisiko dan boleh mengundang kejadian tidak diingini, khususnya kepada golongan warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).
“Isu ini wajar diberi perhatian segera kerana melibatkan keselamatan awam. Parit yang tidak bertutup di kawasan tumpuan orang ramai boleh menyebabkan kemalangan sekiranya tidak ditangani dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Haji Yazid menegaskan pihak berwajib perlu mengambil langkah pantas, sama ada dengan menutup parit berkenaan atau melaksanakan langkah keselamatan sementara seperti pemasangan penghadang dan papan tanda amaran, sementara menunggu penyelesaian jangka panjang.
Beliau berkata, aspek keselamatan di kawasan perkhidmatan awam tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat yang menggunakan kemudahan berkenaan setiap hari.
Dalam pada itu, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap pendedahan media berkenaan dapat mempercepatkan tindakan susulan oleh agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan awam di daerah ini sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terpelihara.-pr/BNN





