KENINGAU: Seorang lelaki berusia 35 tahun di Kampung Toboh Baru di sini kini terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga selepas menjalani pembedahan beberapa bulan lalu.
Jeffrin Matius yang sebelum ini hidup berdikari, kini dijaga sepenuh masa oleh adiknya, Dorin Matius, dengan bantuan emak saudara mereka, Emilia Ben.
Dalam keterbatasan, keluarga itu tetap berusaha memastikan keselesaan Jeffrin dengan sokongan komuniti setempat. Antara penambahbaikan dilakukan ialah membesarkan pintu bilik bagi memudahkan pergerakan, memasang jendela baharu untuk pengudaraan serta membina alat sokongan latihan kaki.
Usaha itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh tukang tempatan, Alain Somoso @ Ebing, hasil idea keluarga serta sumbangan orang ramai.
Bagi keluarga terbabit, penambahbaikan itu bukan sekadar perubahan fizikal, tetapi memberi sinar harapan untuk kehidupan lebih selesa dan proses pemulihan yang lebih baik.
Namun, situasi berkenaan mencerminkan realiti di pedalaman apabila masih ramai pesakit terlantar berdepan kekurangan kemudahan asas, akses rawatan susulan dan sokongan pemulihan.
Sehubungan itu, perhatian lebih menyeluruh daripada pihak berkaitan amat diperlukan bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terus terbela, khususnya di luar bandar.-pr/BNN





