KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, mendakwa isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah dan tanah di Sebatik kini menjadi kayu ukur antara pemimpin berkualiti yang memiliki iltizam politik jelas atau pihak yang sekadar mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan pegawai Istana Indonesia bahawa tanah seluas 127.3 hektar di Sebatik telah menjadi milik Indonesia, dijadikan sumber oleh Parti Warisan untuk menjatuhkan kredibiliti Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, apabila melihat telatah dan kenyataan demi kenyataan pemimpin Warisan, ternyata mereka kurang selidik dan “bermata lalat”, selain hanya melihat isu tidak masak untuk mengelirukan rakyat Sabah.
“Demikian juga isu sebelum ini iaitu tuntutan 40 peratus. Pemimpin Warisan banyak membuat kenyataan yang sengaja menimbulkan kekeliruan seolah-olah kerajaan GRS-Perpaduan di bawah pimpinan Hajiji tidak serius.
“Namun apabila ada kumpulan pemimpin yang berhimpun terkait tuntutan 40 peratus, tidak ada seorang pun pemimpin Warisan hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, keadaan itu berbeza besar dengan Hajiji yang dilihat fokus melaksanakan banyak inisiatif penting bagi memastikan agenda Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dapat dicapai dengan jayanya.
Katanya, perkembangan demi perkembangan positif melibatkan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan inisiatif peralihan tenaga yang ditunjukkan Ketua Menteri menggambarkan beliau bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas.
“Inilah yang dikatakan sebagai iltizam politik. Prestasi kerja dan ketekunan Ketua Menteri Sabah ini menjadi perhatian pemimpin utama Kerajaan Persekutuan.
“Contohnya, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri menyerahkan sebanyak 83 projek Bekalan Air Luar Bandar kepada Kerajaan Sabah untuk dilaksanakan. Ini adalah bukti kepercayaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah supaya berhati-hati sekiranya ada kenyataan panas tetapi “separuh masak” yang dikeluarkan oleh pemimpin Warisan.
Menurutnya, pembangkang berkenaan gagal menjadi pembangkang berkualiti kerana selain mahu menonjolkan diri sebagai “Hero Sabah”, tiada perkara dan isu bermanfaat mampu mereka ketengahkan.
“Pendek kata, isu tuntutan 40 peratus dan tanah Pulau Sebatik boleh menjadi kayu ukur antara pemimpin berkualiti dan memiliki iltizam politik yang jelas, atau sekadar bermata lalat dan mengelirukan minda rakyat jelata,” katanya.-pr/BNN





