PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata sejumlah RM559.85 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) negeri Sabah.

Menurut beliau, pelbagai usaha juga telah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri ini seperti melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta pembangunan jelapang padi di seluruh negeri, termasuk di sini dan daerah sekitarnya seperti Membakut, Beaufort dan Kuala Penyu.

“Sesuai dengan semangat Pesta Kaamatan yang menghargai hasil tuaian, sektor pertanian kekal sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri, di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia pada hari ini,” katanya pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri turut menggalakkan rakyat untuk menyokong produk tempatan, khususnya hasil pertanian negeri Sabah sendiri sebagai langkah memperkukuh ekonomi domestik.

“Kemajuan yang kita kecapi hari ini tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama yang utuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan setiap agenda khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai lagi inisiatif bantuan bagi meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi rakyat, termasuk meneruskan bantuan sedia ada dalam aspek pendidikan, modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Negeri, katanya komited dalam memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang di seluruh negeri ini, agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran yang dikecapi.

“Kita lihat sendiri di Papar, daerah ini menampilkan perubahan yang amat membanggakan dengan beberapa projek pembangunan infrastruktur dan komersial yang telah dan sedang giat dilaksanakan, termasuklah di Benoni dan kawasan sekitar Kinarut,” katanya.

Selepas projek Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya, Papar juga mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak, katanya.

Mempunyai pusat kebudayaan Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, daerah Papar mampu menjadi sebuah daerah yang progresif dan berdaya saing, katanya.

Beliau menambah pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan pada tahun ini amat bertepatan kerana Papar terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi yang subur di negeri Sabah.

“Daerah Papar bukan sahaja kaya dengan hasilnya, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakatnya yang berbilang kaum, yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan,” katanya.

Ketua Menteri berkata keunikan ini amat bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian yang menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Beliau merasa gembira dengan kehadiran dan semangat yang ditunjukkan oleh semua yang hadir pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan ini tanpa mengira agama dan bangsa.

“Ini memperlihatkan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan warisan seperti perayaan ini terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Untuk itu, generasi muda harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan perpaduan, terutama dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini.

“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan bersama- sama membina masa depan yang lebih gemilang untuk negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.

Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1juta untuk projek pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan lengkap dengan grandstand untuk daerah ini.

Menurut beliau, ini menunjukkan keperihatinan Kerajaan Negeri yang mendengar dan tahu denyut nadi rakyat.-pr/BNN