KOTA KINABALU: Pendekatan berhati-hati dan berasaskan pertimbangan keselamatan yang ditunjukkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam isu cadangan menghidupkan semula barter trade dengan selatan Filipina disifatkan sebagai langkah bijaksana yang mengutamakan kepentingan Sabah secara menyeluruh.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, berkata Hajiji tidak mengambil pendekatan populis atau membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya menimbang secara rasional antara keperluan ekonomi rakyat dan aspek keselamatan serta kedaulatan negeri.
Beliau berkata, tindakan Hajiji merujuk perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri mencerminkan pendekatan pengurusan yang matang serta berasaskan penilaian menyeluruh.
“Dalam sains pengurusan, seorang pemimpin yang waras tidak bertindak berdasarkan emosi atau tekanan politik jangka pendek.
“Hajiji memahami keperluan Sandakan dan kawasan pantai timur Sabah untuk menerima lonjakan ekonomi, namun pada masa sama beliau sedar bahawa membuka semula sempadan perdagangan tanpa penilaian mendalam boleh mengundang risiko keselamatan,” katanya hari ini.
Menurut Aksyah, langkah mendapatkan pandangan dan penilaian pihak berkaitan sebelum membuat keputusan menunjukkan Ketua Menteri mengamalkan konsep “Pembuatan Keputusan Rasional” dengan mengumpul data, menilai alternatif serta mempertimbangkan kesan untung dan rugi secara menyeluruh.
Beliau berkata, pendekatan itu penting mengambil kira realiti geopolitik semasa, termasuk kenyataan beberapa pemimpin di Filipina yang masih membangkitkan tuntutan terhadap Sabah.
Katanya, situasi berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan isu keselamatan, kedaulatan dan kepentingan strategik negeri.
Dalam masa sama, beliau melihat Hajiji menggunakan pengalaman pentadbirannya melalui dua pendekatan utama pengurusan krisis iaitu mitigasi risiko dan perancangan kontingensi.
“Apa yang dilakukan Hajiji bukan sekadar melihat keuntungan perdagangan semata-mata, tetapi memastikan sebarang keputusan tidak membuka ruang kepada ancaman pencerobohan, penyeludupan atau gangguan terhadap kedaulatan negeri.
“Beliau terlebih dahulu meninjau pos kawalan keselamatan di perairan sebelum mempertimbangkan pelaksanaan barter trade, sekali gus menunjukkan aspek keselamatan diberi keutamaan,” katanya.
Aksyah berkata, pendekatan menyediakan pelan luar jangka bersama agensi keselamatan Persekutuan juga membuktikan Hajiji sanggup mengambil risiko terhitung demi manfaat ekonomi rakyat tanpa berkompromi terhadap kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, Ekonomi Biru dan kemakmuran inklusif.
“Semua sasaran besar di bawah SMJ 2.0 tidak akan dapat dicapai tanpa kestabilan dan keamanan.
“Hajiji memahami bahawa keselamatan adalah modal pembangunan paling mahal dan tanpa jaminan keselamatan, tiada pembangunan mampu bertahan,” katanya.-pr/BNN





