KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) tampil menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan akta baharu, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) atau AKPS menghakis kuasa autonomi negeri, selain mengundang kecelaruan dan pertindihan bidang kuasa negeri dan persekutuan.

Presiden KPPIS, Azizah S Ahmad berkata, kesatuan itu tampil membuat kenyataan berikutan beberapa perdebatan terkini, terutamanya berhubung kedudukan hak autonomi imigresen Negeri Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan dan Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.

“KPPIS tampil menyuarakan kebimbangan ini kerana melihat pelaksanaan AKPS boleh menghakis kuasa autonomi negeri, selain mengundang kecelaruan dan pertindihan bidang kuasa, yang memberi kesan langsung kepada tugas harian para Pegawai Imigresen di pintu-pintu masuk utama Sabah.

“Dari sudut pandang Kesatuan, kewujudan akta yang mempunyai bidang kuasa yang luas dan bersifat pukal ini menyebabkan para pegawai di lapangan tersepit di antara pematuhan kepada dasar persekutuan yang baharu dan pemeliharaan kuasa mutlak perundangan imigresen di bawah seliaan Pihak Berkuasa Negeri.

“Situasi ini meletakkan pegawai dalam risiko ketidaktentuan garis panduan operasi (SOP) dan keselamatan perundangan (legal safeguard) ketika menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya.

Bagi menangani krisis dasar ini secara profesional dan berhemah, KPPIS telah mengambil langkah proaktif melalui saluran rundingan rasmi di peringkat tertinggi.

Pihak Kesatuan baru-baru ini telah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurut Azizah, pertemuan yang berlangsung pada 27 April 2026 dan 3 Mei 2026 lalu menunjukkan perkembangan positif dari Kerajaan Sabah.

“Dalam pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menzahirkan pendirian tegas menolak pelaksanaan AKPS di Sabah atas prinsip mempertahankan kedaulatan autonomi negeri.

“KPPIS juga telah menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, pada 4 Mei 2026, di mana KPPIS telah memajukan representasi rasmi bagi menuntut penelitian semula dari sudut tatacara perjawatan dan perlindungan keselamatan anggota di bawah seliaan kementerian,” katanya.

Azizah menegaskan bahawa tindakan kesatuan tersebit bukanlah satu bentuk penentangan, jauh sekali untuk membelakangi pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Sebaliknya, ia adalah satu obligasi kesatuan untuk melindungi kebajikan ahli di lapangan.

“Perjuangan KPPIS adalah berlandaskan perlembagaan. Isu ini melibatkan soal dasar dan penggubalan akta yang memerlukan penjajaran semula dengan hak MA63.  Oleh itu, kesatuan mengambil tanggungjawab mengangkat suara warga pekerja JIM Sabah khususnya yang bertugas di pintu masuk untuk dibawa terus kepada pihak pembuat dasar di peringkat Negeri dan Jabatan Lerdana Menteri,” ujarnya.

Beliau turut menambah, anggota-anggota JIM yang bertugas di pintu-pintu masuk kini berdepan dengan kekeliruan bidang kuasa (ultra vires) kesan daripada transisi pelaksanaan Akta 860.

“Sebagai kesatuan, fokus utama kami adalah memastikan setiap pegawai dapat bertugas dalam persekitaran yang jelas, teratur dan dilindungi oleh undang-undang tanpa sebarang prejudis dan pada masa yang sama menuntut agar para pembuat dasar menyelesaikan kelompongan akta ini demi kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pemeliharaan autonomi Sabah,” tambahnya.-BNN