KOTA KINABALU: Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Usahawan Utama Sabah Berhad menghadiri majlis pecah tanah “KTC Industrial Park” baru-baru ini bagi meninjau potensi pelaburan serta memahami hala tuju strategik jangka panjang syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC).
Koperasi yang ditubuhkan menerusi inisiatif Dewan Perdagangan Malaysia China Sabah (MCCC Sabah) itu turut melihat lawatan berkenaan sebagai platform bertukar pandangan, meneroka peluang perniagaan dan menilai sektor pelaburan berpotensi untuk pertumbuhan masa depan koperasi.
Pengerusinya, Encik Louis Su, berkata lawatan itu bukan sahaja sebagai tanda sokongan kepada Presiden Kehormat MCCC Sabah merangkap Pengarah Urusan KTC, Lau Kok Sing, dan Presiden MCCC Sabah merangkap Pengarah Eksekutif KTC, Dexter Lau, malah memberi peluang kepada lembaga memahami potensi jangka panjang syarikat berkenaan.
Beliau berkata, koperasi sentiasa mengamalkan pendekatan pelaburan berhemat dengan menilai hala tuju perniagaan, kekuatan kewangan, potensi pertumbuhan serta pulangan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
“Melalui lawatan ini, kami dapat memahami dengan lebih mendalam pelan pembangunan masa depan KTC termasuk taman perindustrian, ekosistem logistik dan rancangan pengembangan serantau.
“Pada masa sama, koperasi juga ingin meneroka sektor perniagaan yang sesuai diceburi atau dilaburkan pada masa depan sekiranya mempunyai potensi pertumbuhan kukuh dan pulangan menarik,” katanya.
Menurut beliau, antara objektif utama koperasi ialah memperkukuh prestasi kewangan melalui pelaburan stabil dan mampan bagi membolehkan pulangan dividen lebih baik kepada ahli serta pelabur.
Louis berkata, penyertaan dalam majlis itu turut memberi pendedahan berharga kepada ahli lembaga koperasi mengenai trend industri, penilaian perniagaan dan jaringan strategik korporat.
Katanya, koperasi akan terus aktif menyertai lawatan korporat serta aktiviti jaringan perniagaan bagi mengenal pasti peluang yang selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang koperasi.
Turut hadir, Naib Pengerusi Jacky Chin, Bendahari Fannie Chai serta ahli lembaga Kent Yong, Ronnie Chong dan Loo Pang How.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick, serta Pengerusi Kumpulan KTC, Tan Sri Mohd Zuki Ali.-pr/BNN





