KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM383,116 kepada atlet Sabah yang memenangi pingat di Sukan SEA edisi ke-33 dan Para ASEAN ke-13 di Thailand tahun lalu.

“Saya berharap insentif ini menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh. Jangan jadikan kejayaan hari ini sebagai noktah, sebaliknya jadikan ia titik tolak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Kepada jurulatih dan keluarga, sokongan daripada anda adalah tunjang kepada kejayaan ini,” kata Hajiji pada majlis penyampaian insentif kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Selasa.

Seramai 91 orang atlet dari Sabah telah mewakili negara di Sukan SEA 2025 dan telah membantu kontinjen negara memenangi lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.

Manakala di Para ASEAN pula, seramai 22 atlet Sabah telah terpilih dan berjaya membawa pulang kejayaan besar dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Sebanyak RM146,500 insentif diberikan kepada pemenang pingat Sukan SEA edisi Ke- 33 manakala RM236,616 kepada pemenang pingat Para ASEAN.

“Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemuaBatlet negeri Sabah yang telah mengambil bahagian dan sekaligus telah mencipta kemenangan pingat dalam Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung di Thailand.

“Kerajaan Sabah juga berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet Para yang menjadi tonggak pungutan pingat kita semasa Para ASEAN baru-baru ini iaitu perenangBAbdul Halim bin Mohammad dan atlet olahraga Ivan Jovic Suan, yang mana kedua~duanya juga secara kebetulan berasal dari daerah Tuaran,” katanya.

Abdul Halim memenangi lima pingat emas dalam acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan.

Abdul Halim yang telah diangkat selalu Atlet Lelaki Terbaik Malaysia semasa Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), merupakan penerima insentif terbesar pada hari ini.

Bagi Ivan pula, kejayaan memenangi tiga pingat emas dengan satu rekod baharu merupakan satu kejutan besar dalam acara pecut di peringkat Asia Tenggara kerana atlet ini baharu berusia 18 tahun.

Ketua Menteri berkata Kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti dapat dijalankan serta penyediaan prasarana sukan yang moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan lebih efisien dan selamat.

“Menerusi Dasar Sukan yang kita rancang, Kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan.

“Saya percaya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan dan Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu yang sentiasa berjiwa muda, akan terus berusaha merancang pembangunan yang lebih komprehensif dan jitu untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Ketua Menteri juga mahu semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa manfaatkan semua kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.

“Ini termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di arena antarabangsa,” katanya.-pr/BNN