TONGOD: Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan lonjakan signifikan dalam pembangunan infrastruktur meliputi jaringan jalan raya, sektor ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan lestari.

Katanya, kerajaan komited memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi hiliran di kawasan itu.

“Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, pada Rabu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

“Kita mahu anak-anak muda di Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, Tongod juga memiliki khazanah alam yang amat bernilai termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari Sabah.

Katanya, kedudukan Tongod yang berada di tengah-tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart of Sabah” atau jantung negeri yang menyatukan wilayah utara, selatan, timur dan barat Sabah.

Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan di Tongod juga perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasakan produk kraf tangan, makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan penduduk.

“Keharmonian antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah air dihadapi penduduk Tongod, Hajiji berkata masalah itu akan diatasi menggunakan peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Katanya, kuasa melaksanakan projek itu sudah diturunkan kepada kerajaan negeri dan bagi tahun ini lebih RM4 bilion disalurkan oleh KKDW untuk tujuan itu.

“Pada April lalu, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek Bekalan Air dengan peruntukan lebih RM4 bilion dan saya berharap daerah Tongod juga dapat manfaat.

“Inilah yang kita selalu bincang dengan kerajaan Persekutuan, kalau kita berbincang secara berhemah dan hormat-menghormati, maka banyak urusan yang dulu dikendali oleh Persekutuan atau jabatannya di Sabah, tapi sejak lima tahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang saya pimpin ini, sudah banyak kuasa diturunkan kepada negeri, antaranya ialah bekalan air luar bandar, termasuk di Tongod,” katanya.

Hajiji menegaskan, semangat kerjasama negeri dan Persekutuan mesti diteruskan tanpa meminggirkan kepentingan Sabah, selain pada masa yang sama tetap menjaga kepentingan Malaysia sebagai negara.

“Jangan kerana menuntut hak negeri, kita keruhkan hubungan dengan Persekutuan, sebaliknya kita kena bangunkan juga negara kita Malaysia.

“Sabah adalah negeri yang sama-sama membentuk Malaysia, jadi apa yang kita buat mesti dilakukan bersama supaya Sabah boleh terus maju ke hadapan dengan kerjasama Persekutuan.

“Ini perlu kita buat, jangan kita gaduh dengan Persekutuan, rugi kita kerana untuk bangunkan Sabah, kita perlukan pertolongan Persekutuan,” katanya.

Katanya, walaupun pada masa depan peruntukan hasil Sabah meningkat, termasuk menerusi bayaran cukai bersih 40 peratus, Sabah masih memerlukan kerjasama Persekutuan untuk terus menjadi negeri yang maju di Malaysia.

Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji menegaskan bahawa sambutan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai cadangan pembinaan pekan baharu Tongod, Ketua Menteri berkata projek itu akan dilaksanakan sebuah syarikat swasta di tapak tanah milik mereka sendiri.

“Satu syarikat swasta akan membangunkan pekan baharu Tongod di tanah mereka sendiri, termasuk membina pejabat kerajaan. Jadi, kita mengalu-alukan kerjasama di antara syarikat swasta dan kerajaan. Dengan sokongan wakil rakyat di sini, usaha ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyerahkan sebanyak 239 geran tanah NT, dengan keluasan 583.38 hektar (1,441.57 ekar) kepada rakyat Tongod.

Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran melibatkan keluasan 500.09 hektar (1235.75 ekar) adalah NT biasa. Manakala geran deraf PANTAS melibatkan 7 mukim, sebanyak 40 geran dengan keluasan sebanyak 83.29 hektar (205.82 ekar).-pr/BNN