KENINGAU: Warga Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen P180 Keningau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan serta ADUN Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ishak Ayub atas sumbangan lembu korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Kedua-dua pemimpin berkenaan masing-masing menyumbangkan seekor lembu bagi pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging kepada penduduk setempat, sekali gus memeriahkan sambutan Aidiladha di kawasan berkenaan.

Pengerusi Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata, pihaknya mewakili seluruh kariah dan jemaah masjid amat menghargai keprihatinan serta sokongan berterusan yang diberikan oleh kedua-dua pemimpin terbabit.

Menurut beliau, sumbangan itu amat bermakna dalam membantu mengimarahkan program ibadah korban di masjid berkenaan selain memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.

Katanya, semangat kebersamaan dan sikap prihatin yang ditunjukkan menerusi sumbangan berkenaan mencerminkan nilai perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di daerah ini.

“Bagi pihak warga Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang diberikan.

“Semoga Dr. Jeffrey dan Mohd Ishak sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan serta terus diberkati dalam menjalankan amanah dan khidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut berharap amalan kebajikan dan semangat saling membantu seperti itu akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan masyarakat setempat.-pr/BNN