KENINGAU: Majlis Reunion Alumni Maktab Perguruan Kent yang akan berlangsung pada 26 September 2026 di Taman Bandukan Riverside Resort di sini, terbuka kepada semua bekas pelatih institusi berkenaan tanpa mengira tahun pengajian.

Pengerusi Pelaksana majlis, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata tarikh dan lokasi penganjuran program itu kekal seperti yang diumumkan sebelum ini, manakala penyertaan kini diperluaskan kepada seluruh alumni Maktab Perguruan Kent.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa turut mengambil maklum kekeliruan yang timbul susulan penggunaan nama “Reunion Kent 1979–1985” dalam hebahan awal program dan memohon maaf atas salah faham tersebut.

“Penggunaan tahun 1979 hingga 1985 sebelum ini hanyalah merujuk kepada kumpulan penggerak awal yang mencetuskan idea penganjuran program ini.

“Bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa majlis ini tidak terhad kepada alumni bagi tempoh tersebut sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua bekas pelatih Maktab Perguruan Kent dari pelbagai generasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata nama program berkenaan akan ditukar kepada ‘Majlis Reunion Alumni Maktab Perguruan Kent’ bagi mencerminkan semangat keterangkuman, perpaduan dan kebersamaan seluruh warga alumni institusi pendidikan berkenaan.

Menurutnya, majlis itu diharapkan dapat menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan semula bekas pelatih, mengeratkan silaturahim serta mengimbau kenangan sepanjang menuntut di Maktab Perguruan Kent.

“Program ini juga diharap dapat memperkukuhkan jaringan persahabatan dan hubungan yang telah terjalin sekian lama dalam kalangan alumni, sekali gus menghidupkan semula semangat kekeluargaan warga Kent.

“Kami menjemput dan mengalu-alukan penyertaan semua bekas pelatih Maktab Perguruan Kent yang berada di seluruh negara untuk bersama-sama memeriahkan pertemuan bersejarah ini,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Puan Suriaty Rahmat selaku Setiausaha di talian 017-8984548, Puan Tini E. Ismail (Bendahari) di talian 011-25296550, Encik Hussin Basir (Naib Pengerusi) di talian 011-18558838 atau Encik Sinari Jalumin (Timbalan Pengerusi) di talian 019-8814534.

“Bersua Kembali, Mengukuh Persahabatan, Menjalin Kenangan.”