TAMBUNAN: Pelbagai tomahan, tuduhan, cacian dan fitnah telah dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu dengan tujuan mempengaruhi pemikiran rakyat agar berpihak kepada mereka merupakan satu cara bagi pengamal-pengamal politik zaman ini.

Bagaimanapun, semua itu tidak sedikit pun melemahkan semangat serta perjuangan Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut dalam meneruskan usaha membangunkan masyarakat Tambunan dari segenap segi.

Biarpun tidak bergelar Wakil Rakyat melalui pilihan raya, komitmen beliau tetap diteruskan semata-mata atas kesedaran bahawa sebagai Ketua Bahagian sesebuah parti dalam kerajaan, khidmat terhadap rakyat perlu diberikan perhatian wajar.

Di sebalik tiap kritikan, tuduhan dan fitnah yang diterima selama ini, dia menjadikan semua itu sebagai pemangkin untuknya terus bekerja dengan lebih gigih, membuktikan bahawa perjuangan sebenar bukanlah melalui retorik dan janji-janji kosong, tetapi melalui tindakan yang nyata serta hasil yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat itu sendiri.

Hasrat beliau jelas, iaitu memastikan masyarakat Tambunan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan dan pembangunan.

Keutamaan sentiasa diberikan kepada kebajikan rakyat, pembangunan komuniti serta usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Rakyat yang bijaksana tidak menilai berdasarkan persepsi yang dibentuk oleh fitnah atau kata-kata pihak tertentu.

Sebaliknya, rakyat menilai melalui rekod perkhidmatan, komitmen, usaha dan hasil yang telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya dalam satu temubual bersama media di ibu negeri baru-baru ini.

Menurut beliau, pada akhirnya, sejarah membuktikan bahawa fitnah akan berlalu, tetapi jasa dan pengorbanan untuk rakyat akan terus dikenang.

“Nilailah dengan hati yang terbuka, fikiran yang matang dan kebijaksanaan yang berpandukan fakta serta realiti, kerana masa depan Tambunan ditentukan oleh tindakan yang membina, bukan oleh kata-kata yang memecah-belahkan,” jelasnya lagi.-pr/BNN