KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri media melalui bantuan dari segi tajaan kewangan kepada penganjuran KInabalu Press Awards, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata sejak tahun 2025, sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA telah meningkat sebanyak RM110,000 berbanding RM100,000 pada tahun 2024.
“Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan sekali gus menyokong segala usaha untuk kecemerlangan pengamal media di negeri ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan sebagai penaja utama untuk majlis ini. Kerajaan negeri terus menjadi penyumbang utama tajaan kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya sempena Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di sini pada Sabtu.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Katanya, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan wartawan sebagai rakan kongsi strategik dalam menyebarkan dasar dan kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat.
“Pelaporan berita khususnya mengenai Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah digalas dengan sebaiknya. Malah, pada saat-saat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hinggalah berakhirnya pilihan raya negeri ke-17 tahun lalu, pengamal media telah terlibat secara langsung khususnya dalam aspek pelaporan berita.
“Saya sendiri melihat secara dekat bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya dapat melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menjalankan tugas mereka.,” katanya.
Walaupun kepantasan berita menjadi keutamaan, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.
“Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika, dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya.-pr/BNN





