KOTA KINABALU : Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah mengalu-alukan majlis pecah tanah Projek MADANI Link / Sabah Southern Link yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan menyifatkannya sebagai satu komitmen strategik yang telah lama dinantikan bagi memperkukuhkan kebolehpercayaan bekalan elektrik Sabah, khususnya di Pantai Timur dan kawasan pedalaman negeri ini.

YPNM Sabah berpandangan bahawa projek ini bukan sekadar projek talian penghantaran elektrik, malah merupakan nadi penting kepada masa depan keselamatan tenaga Sabah, pertumbuhan ekonomi, pembangunan perindustrian serta kesejahteraan pengguna.

Talian penghantaran 275kV sepanjang 330 kilometer yang menghubungkan Sipitang ke Tawau akan membantu mengurangkan kebergantungan Sabah kepada laluan penghantaran yang terhad serta meningkatkan kestabilan bekalan elektrik antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

Sejak sekian lama, Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan gangguan bekalan elektrik, kekangan sistem penghantaran dan peningkatan permintaan tenaga yang didorong oleh pertumbuhan penduduk, aktiviti komersial dan pembangunan industri.

Apabila siap kelak, Sabah Southern Link akan menyediakan rangkaian penghantaran yang lebih kukuh dan berdaya tahan bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri secara berterusan serta mengurangkan risiko gangguan bekalan berskala besar.

YPNM Sabah turut menghargai komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan infrastruktur tenaga Sabah.

Projek ini membuktikan bahawa keperluan tenaga jangka panjang Sabah diberi perhatian serius dan selari dengan usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, khususnya dalam sektor pembuatan, tenaga hijau, taman perindustrian dan industri hiliran.

Selain itu, rangkaian penghantaran yang lebih mantap akan memudahkan integrasi projek tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), sekali gus membantu Sabah bergerak ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan pelbagai.

YPNM Sabah percaya bahawa bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai adalah keperluan asas bukan sahaja kepada sektor perniagaan dan industri, malah kepada isi rumah, sekolah, hospital serta komuniti luar bandar.

Pengguna akan menikmati manfaat secara langsung melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, pengurangan gangguan bekalan dan peningkatan kualiti hidup.

YPNM Sabah juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek penting ini.

Seiring dengan aspirasi Sabah untuk menjadi sebuah negeri yang lebih maju dan berdaya saing, YPNM Sabah berharap pelaksanaan Projek MADANI Link / Sabah Southern Link dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan mengikut jadual demi manfaat seluruh rakyat Sabah.

“Majlis pecah tanah hari ini merupakan satu detik bersejarah bagi sektor tenaga Sabah. Ia memberikan keyakinan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan Sabah menerima pelaburan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan masa hadapan negeri ini,” kata David Chan, Pengerusi YPNM Sabah.-pr/BNN