KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said menyifatkan campur tangan mana-mana ahli politik dalam prosiding tatatertib Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai tindakan yang boleh menghakis autonomi serta mengancam integriti institusi pengajian tinggi, sambil menggesa Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menghormati proses yang sedang berjalan.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap pendirian Adam Adli berhubung prosiding tatatertib yang dihadapi dua mahasiswa UMS, Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum, susulan penglibatan mereka dalam protes isu perobohan rumah di Kampung Asaon, Kudat.

Beliau berkata, kenyataan Adam Adli yang dilaporkan bersedia hadir ke UMS sekiranya prosiding tatatertib terhadap kedua-dua mahasiswa itu diteruskan adalah tidak wajar kerana boleh menimbulkan persepsi bahawa proses disiplin universiti dipengaruhi kepentingan politik.

Menurutnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mempunyai autonomi, UMS memiliki sistem tadbir urus, peraturan serta mekanisme tatatertib tersendiri yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan.

“Universiti bukan pentas politik. Apabila seorang pemimpin politik memberi gambaran mahu memantau atau hadir dalam prosiding tatatertib, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa proses dalaman universiti tidak mampu berjalan secara bebas dan profesional.

“UMS mempunyai kuasa dan mekanisme sendiri. Berilah ruang kepada pihak universiti melaksanakan tanggungjawab mereka mengikut peraturan tanpa sebarang tekanan atau campur tangan luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jerry berkata, beliau tidak mempertikaikan hak mahasiswa untuk berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan atau mengambil bahagian dalam proses demokrasi, namun hak itu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati undang-undang serta peraturan universiti.

“Mahasiswa perlu memahami bahawa setiap tindakan mempunyai tanggungjawab dan akibat. Demokrasi bukan sekadar mengenai kebebasan bersuara, tetapi juga menghormati peraturan yang dipersetujui bersama.

“Jika mereka berani menyertai demonstrasi atau bantahan atas pilihan sendiri, mereka juga perlu bersedia menghadapi proses tatatertib sekiranya didapati melanggar peraturan universiti. Itulah asas kepada pembentukan disiplin, integriti dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata, tindakan membela mahasiswa sebelum prosiding selesai juga boleh memberi gambaran bahawa proses tatatertib universiti tidak diyakini, sekali gus membuka ruang kepada campur tangan politik dalam pentadbiran institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, pengalaman seseorang sebagai aktivis mahasiswa suatu ketika dahulu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempengaruhi proses pentadbiran universiti pada hari ini.

“Mahasiswa perlu dididik menjadi golongan intelektual yang mampu menilai sesuatu isu secara matang dan menyeluruh, bukannya bertindak mengikut emosi atau terikut-ikut dengan sentimen semasa.

“Mereka adalah aset negara dan bakal pemimpin masa depan. Keutamaan mereka ialah menimba ilmu, membina sahsiah dan melengkapkan diri dengan pemikiran yang matang sebelum tampil memimpin masyarakat.

“Adab terhadap institusi juga sebahagian daripada ilmu. Sebagaimana kita menghormati kebebasan badan kehakiman dan institusi bebas lain menjalankan tanggungjawab mereka tanpa campur tangan, demikian juga UMS perlu diberi ruang mengendalikan prosiding tatatertib secara telus, adil dan profesional.

“Jangan kerana mahu menjadi hero dalam sesuatu isu, akhirnya autonomi universiti yang menjadi mangsa. Campur tangan politik dalam urusan tatatertib hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak menghormati autonomi UMS serta membenarkan universiti berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, tanpa sebarang campur tangan politik.

Terdahulu, Adam Adli dilaporkan meminta UMS meneliti semula tindakan tatatertib terhadap Fidaa’ Ahmad Fahmi dan Abdul Qayyum yang menerima notis prosiding tatatertib daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS susulan penglibatan mereka dalam protes berhubung perobohan rumah di Kampung Asaon, Kudat, Mei lalu.

Prosiding tatatertib terhadap kedua-dua mahasiswa itu dijadualkan berlangsung pada 9 Julai depan, manakala Adam Adli turut menyatakan kesediaannya hadir ke UMS sekiranya prosiding berkenaan diteruskan bagi memastikan proses itu berjalan secara adil.-pr/BNN