KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyambut baik pelaksanaan program BUDI MADANI Diesel yang akan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai depan, namun menegaskan pelaksanaannya di Sabah perlu dilakukan secara telus, adil dan tidak menambah beban rakyat.
Ketua Penerangan PH Sabah, Datuk Chan Foong Hin, berkata reformasi subsidi yang lebih bersasar itu wajar disokong kerana mampu mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Beliau berkata, penjimatan hasil pelaksanaan subsidi bersasar juga perlu dikembalikan kepada rakyat melalui bantuan yang lebih tepat, perlindungan kos sara hidup serta penambahbaikan perkhidmatan awam.
“Secara prinsipnya, PH Sabah menyokong usaha reformasi subsidi menerusi pendekatan yang lebih bersasar, telus dan mampu mengurangkan ketirisan.
“Namun, kejayaan pelaksanaan dasar ini tidak boleh diukur hanya melalui penyeragaman sistem, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat Sabah serta sejauh mana ia membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, realiti geografi dan ekonomi Sabah yang berbeza memerlukan pertimbangan khusus memandangkan rakyat negeri ini banyak bergantung kepada pengangkutan darat jarak jauh, logistik antara daerah, penggunaan kenderaan diesel persendirian, bot sungai dan genset di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menghargai penglibatan aktif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam sesi penerangan pelaksanaan dasar berkenaan.
Katanya, peranan Armizan selaku wakil rakyat dari Sabah amat penting bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar mengambil kira realiti tempatan serta mengimbangi keperluan fiskal negara dengan kepentingan pengguna dan kestabilan harga di negeri ini.
Dalam pada itu, Chan menggesa kerajaan memberi perhatian serius kepada beberapa aspek bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar.
Menurutnya, peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) perlu dipantau rapi bagi mengelakkan gangguan bekalan atau kelewatan proses pendaftaran yang boleh menjejaskan pengguna dan peniaga.
Beliau turut mencadangkan mekanisme tambahan kuota bagi pengguna diesel di kawasan luar bandar dan pedalaman dilaksanakan secara lebih fleksibel memandangkan corak penggunaan di Sabah berbeza dan melibatkan perjalanan yang lebih jauh.
“Kerajaan juga perlu memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan supaya tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga barang atau caj pengangkutan secara tidak munasabah dengan alasan perubahan mekanisme subsidi.
“Rakyat mesti merasai manfaat reformasi ini dan bukannya menanggung kesan rantaian kenaikan harga,” katanya.
Selain itu, beliau berkata saluran bantuan dan aduan perlu diperkukuhkan termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat tidak berdepan kesukaran mengakses sistem baharu.
Chan turut menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan subsidi bagi sektor strategik seperti nelayan, petani kecil dan pengangkutan awam, selain memperluaskan akses kepada pengusaha bot sungai serta pengguna genset di kawasan pedalaman.
Beliau menegaskan reformasi subsidi bukan sekadar bertujuan menjimatkan perbelanjaan kerajaan, sebaliknya perlu menjadi instrumen untuk membina sistem yang lebih adil, mengurangkan ketirisan dan pada masa sama menjaga kebajikan rakyat.
“PH Sabah akan terus memainkan peranan konstruktif bersama Kerajaan MADANI bagi memastikan pelaksanaan dasar ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.-pr/BNN





