KOTA KINABALU: Aktivis badan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Faisal Mohamad Mohidin, menyifatkan dakwaan Jawatankuasa Pemandu Bersih berhubung sekatan kemasukan Pengarah Eksekutifnya, Asraf Sharafi Mohammad Azhar, ke Sabah sebagai tidak berasas dan meminta semua pihak menghormati undang-undang serta autonomi imigresen negeri itu.

Mantan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri (1) Sabah itu berkata, cubaan mengaitkan tindakan penguatkuasaan imigresen dengan arahan politik daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tanpa bukti yang kukuh hanya mengundang kekeliruan serta boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan juga tidak wajar memandangkan Hajiji ketika ini sedang berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah.

“Sebarang dakwaan sedemikian sewajarnya disokong dengan bukti yang jelas dan bukannya dibuat berdasarkan andaian atau persepsi semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Faisal berkata, cubaan mengaitkan insiden itu dengan kes membabitkan Fahmi Reza pada tahun lalu hanya mewujudkan persepsi bahawa setiap tindakan penguatkuasaan mempunyai motif politik.

Katanya, setiap keputusan imigresen dibuat berdasarkan penilaian pihak berkuasa mengikut peruntukan undang-undang serta pertimbangan keselamatan semasa.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai hak autonomi imigresen yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Imigresen 1959/63, sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengawal kemasukan individu ke negeri ini.

Menurutnya, pelaksanaan Notis Amaran Sabah (NAS) adalah sebahagian daripada mekanisme perundangan yang sah dan perlu dihormati oleh semua pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata urusan keluarga mana-mana individu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan keputusan yang dibuat mengikut lunas undang-undang atau dijadikan asas membina naratif politik tertentu.

“Keamanan, keselamatan dan keharmonian rakyat Sabah hendaklah sentiasa menjadi keutamaan. Hak berhimpun juga perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang.

“Mana-mana pihak luar sewajarnya menghormati autonomi Sabah dan tidak menjadikan negeri ini sebagai medan provokasi atau konflik politik yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Faisal menggesa semua pihak supaya menghormati proses perundangan, mengelakkan spekulasi yang tidak berasas serta memastikan setiap kenyataan awam dibuat secara bertanggungjawab demi memelihara keharmonian dan kestabilan Sabah.-pr/BNN