KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mencadangkan agar Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah mempertimbangkan penubuhan sebuah Galleria atau Muzium Mini Perkhidmatan Awam yang memberi tumpuan kepada jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, galeri berkenaan boleh mempamerkan dokumen, ucapan dan memorabilia berkaitan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, termasuk rekod pencapaian serta sumbangan mereka dalam pelbagai era, sekali gus menggambarkan kepimpinan setiap Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Galeri seperti ini tentunya dapat dijadikan pusat rujukan mengenai perkembangan sektor perkhidmatan awam, selain berfungsi sebagai pusat sumber untuk pelajar sekolah menengah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya pada majlis makan malam penghargaan “Sanjungan Budi Tautan Legasi” bagi meraikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, di Magellan Sutera Resort di sini malam ini.

Ketua Menteri berkata, jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam negeri.

“Sejak mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu, negeri ini hanya mempunyai 11 orang Setiausaha Kerajaan Negeri, iaitu Robert Turner, Datuk John Dusing, Tan Sri Richard Lind, Tan Sri Abdul Hamid Egoh, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Datu Haji Khalil bin Haji Jamalul, Datuk K.Y. Mustafa, Tan Sri Sukarti Wakiman, Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong dan yang terbaru, Datuk Zainudin Haji Aman.

“Setiap bekas Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai kekuatan, pencapaian dan legasi tersendiri. Malam ini, kita meraikan legasi yang ditinggalkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ke-10 (Safar) selepas berkhidmat selama enam tahun, tujuh bulan dan 24 hari, di mana beliau bekerja bersama kepimpinan negeri dan penjawat awam dalam menghadapi pelbagai cabaran serta mencapai pelbagai kejayaan,” katanya.

Hajiji turut memuji Safar dengan menyatakan bahawa beliau bukan sahaja meningkatkan kecekapan Perkhidmatan Awam Negeri, malah memperkenalkan perubahan positif selaras dengan kemajuan teknologi maklumat sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Beliau menerajui pendigitalan pentadbiran kerajaan dengan memperkenalkan inisiatif Smart Digital Government dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Inisiatif ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan jangkaan yang sentiasa berubah,” katanya.

Hajiji berkata, berdasarkan pengalaman luas Safar dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, selain kepakaran beliau dalam pembangunan tanah, beliau telah diberikan peranan baharu sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED).

“Saya percaya syarikat berkaitan kerajaan ini akan mendapat banyak manfaat daripada kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Safar,” katanya.

Sementara itu, bagi pihak kepimpinan Kerajaan Negeri, Hajiji merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Safar atas khidmat bakti serta sumbangan beliau kepada Perkhidmatan Awam Negeri sepanjang menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.-pr/BNN