PUTATAN: Masyarakat kampung diminta terus cakna dan menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti persekitaran yang lebih selesa serta selamat.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, dalam konteks itu, wakil masyarakat atau ketua-ketua kampung turut diminta lebih bertanggungjawab bagi mengemukakan laporan kepada pihak berwajib.
Jelasnya, ia penting untuk kerajaan melalui jabatan, agensi atau komuniti bertanggungjawab menyelesaikan isu keselamatan, infra dan permasalahan setempat.
“Kita mahu semua berganding bahu dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing menjaga serta mensejahterakan kampung yang didiami.
“Akar umbi sama ada wakil masyarakat, ketua kampung atau penghuninya juga dialu-alukan menjadi mata dan telinga kita supaya persekitaran kediaman di kampung ini terus ditingkatkan secara selesa, selamat dan selaras dengan arus kemodenan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas program walkabout malam bersempena Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas Bersama Pimpinan Tahun 2026 di Kampung Sekambu, Petagas, malam Sabtu.
Dalam program tersebut, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) sempat melakukan tinjauan rapat mengenai keadaan struktur kampung sekitar bersama rombongan berkenaan.
“Program ini merupakan mekanisme terbaik dalam kita melihat serta menilai sendiri keadaan kampung di Petagas.
“Selain dapat melihat perkembangan isu keselamatan di sini melalui rondaan pihak penganjur, kita juga melihat sendiri suasana kampung di sebelah malam yang mana terdapat beberapa isu seperti lampu jalan tidak berfungsi serta struktur bangunan pos KRT yang berpotensi didirikan di sini.
“Sehubungan itu, saya berharap program seperti ini dapat diadakan lagi di masa hadapan dalam memastikan lokaliti kampung di Petagas ini terus berada dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya.-pr/BNN





