KOTA KINABALU: Kelab Golf Pesara Pendidik Sabah (KGPeS) menganjurkan Golf Amal Siri 3/2026, Sabtu lalu sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga pendidikan, pesara, sektor korporat dan rakan strategik, selain meraikan persaraan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin Saidin.

Raisin akan menamatkan perkhidmatan wajibnya pada 28 Julai ini selepas menabur bakti dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di Sabah.

Program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah; barisan kepimpinan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pemimpin masyarakat, penaja dan peserta.

Presiden KGPeS, Dr.Aslie Sahat berkata, penganjuran Golf Amal Siri 3/2026 bukan sekadar aktiviti sukan dan rekreasi, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh jaringan warga pendidikan serta menyemarakkan budaya kebajikan dan kesukarelawanan.

“Program ini membuktikan pesara pendidik terus memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti dan pendidikan melalui perkongsian pengalaman serta kepakaran mereka,” katanya.

Pada majlis sama, KGPeS merakamkan penghargaan kepada Raisin atas kepimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau dalam memperkasa sistem pendidikan negeri.

Menurutnya, kepimpinan Raisin yang berteraskan integriti dan profesionalisme telah memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan Sabah serta menjadi inspirasi kepada generasi pendidik akan datang.

Beliau turut menghargai sokongan Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, yang banyak membantu menjayakan penganjuran Golf Amal KGPeS sejak 2024.

KGPeS, katanya, akan terus komited menjadi platform penyatuan pesara pendidik Sabah serta memperluaskan program kebajikan dan pembangunan komuniti demi manfaat masyarakat dan negeri.-pr/BNN