KOTA KINABALU: Semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara terus disemarakkan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) menerusi penyerahan Jalur Gemilang kepada Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2026.

Pengerusinya, Datuk Mohammad Mohamarin, berkata penyerahan Jalur Gemilang itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen SAFMA untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan warga organisasi.

Katanya, Jalur Gemilang membawa makna besar sebagai lambang kedaulatan, perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

«“Kita mahu semangat mengibarkan Jalur Gemilang ini bukan hanya sekadar satu acara atau simbolik, tetapi diterjemahkan melalui rasa tanggungjawab, integriti dan komitmen dalam melaksanakan amanah kepada organisasi, masyarakat dan negara,” katanya.»

Beliau berkata, warga SAFMA turut mempunyai peranan dalam menyumbang kepada pembangunan Sabah, khususnya dengan memastikan sektor perikanan dan bekalan makanan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan juga perlu dijadikan ruang untuk memperkukuh perpaduan, selain mengetepikan perbezaan demi kepentingan negara.

“Dalam suasana Malaysia MADANI, nilai kebersamaan, saling menghormati dan tanggungjawab terhadap negara perlu terus dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat.

“Kita mahu Jalur Gemilang berkibar bukan sahaja di bangunan kerajaan atau premis korporat, tetapi di hati setiap rakyat Malaysia. Inilah semangat yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad menyeru seluruh warga SAFMA supaya bersama-sama menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan lokasi masing-masing.

Katanya, semangat patriotisme perlu diterjemahkan menerusi tindakan dan sumbangan nyata kepada negara, termasuk melaksanakan tugas dengan amanah, meningkatkan produktiviti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kita mungkin berbeza latar belakang, tetapi kita berkongsi satu identiti sebagai rakyat Malaysia. Jalur Gemilang menyatukan kita di bawah satu negara, satu semangat dan satu harapan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar; Timbalan Pengurus, Azis Ali Amat serta Ahli Lembaga Pengarah SAFMA, termasuk Datuk Ahemad Sade.-pr/BNN