KOTA KINABALU: Aktiviti Santai Bowling Wanita Gagasan Rakyat Sabah bukan sekadar medan beriadah, malah platform mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kekitaan dan kesatuan dalam kalangan anggota wanita.

Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, aktiviti sukan seperti bowling memberi peluang kepada anggota meluangkan masa bersama dalam suasana santai, selain menggalakkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata, sukan turut membentuk nilai positif termasuk disiplin, kerjasama, kesabaran, semangat kesukanan dan daya juang yang penting dalam kehidupan serta gerak kerja organisasi.

“Melalui aktiviti sukan, kita dapat memupuk semangat kesukanan dan daya juang, selain melahirkan masyarakat yang cergas, aktif dan produktif,” katanya ketika ditemui pada program Santai Bowling Wanita Gagasan Rakyat di CP Bowl, di sini, semalam.

Redonah berkata, program riadah bersama itu turut memberi ruang kepada anggota untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

Katanya, hubungan yang kukuh dalam kalangan anggota penting bagi memastikan gerak kerja Wanita Gagasan Rakyat Sabah terus tersusun dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada parti serta masyarakat.

Beliau berkata, program santai seumpama itu akan diteruskan sebagai usaha mewujudkan suasana yang lebih harmoni, sihat dan ceria, selain menggalakkan penyertaan anggota dari seluruh Sabah.

“Kita bersukan, kita sihat dan pada masa sama mengeratkan hubungan. Semangat kebersamaan inilah yang perlu terus kita pupuk,” katanya.

Turut hadir Naib Ketua Wanita, Datuk Aziah Atoh; Penolong Setiausaha merangkap Pengerusi Pelaksana program, Fahzrean Mohiddin serta barisan Exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah.-pr/BNN