KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyokong saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, supaya Pegawai Daerah mengambil pendekatan baharu dan berani dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata, keberanian itu bukan sekadar membuat keputusan, sebaliknya turut merangkumi kesediaan turun padang, mendengar suara rakyat, mengenal pasti masalah serta mencari penyelesaian yang cepat, praktikal dan berkesan.

“Saya amat bersetuju dengan pandangan Ketua Menteri bahawa Pegawai Daerah perlu berani. Mereka adalah tunjang utama pentadbiran kerajaan di peringkat daerah serta jambatan antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Menurutnya, Pegawai Daerah berada di barisan hadapan pentadbiran dan paling hampir dengan masyarakat, sekali gus perlu mengamalkan pendekatan lebih proaktif, responsif serta berorientasikan penyelesaian.

“Jika sesuatu masalah boleh diselesaikan melalui pendekatan low-hanging fruits, jangan terlalu lama menunggu. Jika memerlukan tindakan beberapa agensi, Pegawai Daerah perlu memainkan peranan menyelaras supaya rakyat tidak terus menunggu,” katanya.

Yazid berkata, keberanian itu perlu disokong integriti, kecekapan, kreativiti dan semangat turun padang, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menuntut jentera kerajaan bergerak lebih dinamik dan berfokus kepada hasil.

“Rakyat mahu melihat hasil. Mereka mahu masalah didengar dan diselesaikan. Sebab itu Pegawai Daerah perlu tampil sebagai pemimpin pentadbiran yang berani mengambil inisiatif, bukan hanya menunggu arahan,” katanya.

Beliau turut menggesa hubungan antara Pegawai Daerah, pemimpin masyarakat, wakil rakyat, ketua kampung, agensi kerajaan dan komuniti diperkukuh bagi memastikan perancangan pembangunan benar-benar memenuhi keperluan rakyat di akar umbi.

“Kita mahu pentadbiran kerajaan yang dekat dengan rakyat, mendengar suara rakyat dan bekerja bersama rakyat. Inilah semangat yang perlu disuburkan dalam menjayakan SMJ 2.0,” katanya.-pr/BNN