KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dan Hari Sabah Ke-63 perlu dijadikan momentum untuk memperkukuh perpaduan, keharmonian serta kecintaan rakyat terhadap negara dan Sabah.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Tuan Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik, berkata sambutan bersejarah itu bukan sekadar memperingati perjuangan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, malah wajar menyemarakkan iltizam bersama membina masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata, semangat sambutan berkenaan juga perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan secara menyeluruh, adil dan selaras dengan semangat serta hak yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

“Isu hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, hendaklah terus diberi perhatian serius agar dapat direalisasikan menerusi pendekatan yang telus dan berperlembagaan serta mengutamakan kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026.

Yazid berkata, Sabah yang kukuh dalam Malaysia perlu bergerak seiring dengan usaha membentuk sebuah Malaysia yang lebih adil untuk semua.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat bersama-sama membina Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera tanpa melupakan sejarah, hak serta semangat asal pembentukan Malaysia.

“Sabah yang kuat dalam Malaysia, Malaysia yang adil untuk semua,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 dan Hari Sabah Ke-63 kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah.-pr/BNN