KOTA BELUD,: Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, Ketua Merinyu Projek Sabah telah menerima satu kunjungan hormat daripada Persatuan Perkhidmatan Perdagangan Kota Belud (PRIME) yang diketuai Presidennya, Muhamad Thasrie Alkesah hari ini di pejabat nya.

Rombongan PRIME turut disertai Timbalan Presiden, Mohd Akhmal Hamimi, serta Setiausaha Agung, Amirul Farhan Abdullah.

Kunjungan tersebut menjadi platform bagi pertukaran pandangan serta perbincangan mengenai pelbagai isu berkaitan perkembangan sektor perdagangan, selain usaha memperkasa golongan peniaga dan komuniti setempat di Kota Belud.

Pelbagai perkara berkaitan keperluan dan cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan turut dikongsi dalam suasana perbincangan yang konstruktif dan terbuka.

Kunjungan itu juga mencerminkan komitmen PRIME untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan masyarakat setempat.

Kerjasama dan hubungan strategik seperti ini diharap dapat terus diperkasakan bagi mewujudkan lebih banyak peluang serta memberi manfaat kepada para peniaga dan komuniti, sekali gus menyumbang kepada kemajuan Kota Belud secara keseluruhannya.-pr/BNN