KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menyambut baik keputusan kerajaan meningkatkan kelayakan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan bagi pemilik kenderaan diesel individu pacuan empat roda (4WD) dan pikap yang layak.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat, namun mekanisme pelaksanaannya di Sabah perlu ditambah baik dengan mengambil kira realiti geografi, sosioekonomi serta corak penggunaan kenderaan masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengguna sebenar kenderaan diesel yang kenderaannya tidak didaftarkan atas nama sendiri, termasuk kenderaan yang didaftarkan atas nama pasangan, ibu bapa atau ahli keluarga atas faktor tertentu seperti kelayakan pembiayaan.

“Walaupun mekanisme pemindahan kelayakan kepada ahli keluarga terdekat sudah disediakan, proses itu perlu dipermudah supaya pengguna sebenar yang layak tidak tercicir daripada menerima subsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Riduan berkata, kerajaan pada masa sama perlu menilai sama ada had 400 liter sebulan benar-benar mencukupi untuk masyarakat luar bandar dan pedalaman Sabah, khususnya di kawasan seperti Tenom.

Menurutnya, kenderaan pikap dan 4WD bagi masyarakat di kawasan berkenaan bukan lambang kemewahan, sebaliknya kenderaan kerja dan menjadi nadi untuk mencari rezeki.

“Jarak perjalanan yang panjang serta keadaan muka bumi dan jalan raya yang mencabar menyebabkan corak penggunaan diesel di Sabah tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan kawasan bandar yang mempunyai jaringan pengangkutan awam dan infrastruktur lebih baik.

“Sekiranya kuota habis sebelum penghujung bulan, kos tambahan yang terpaksa ditanggung akhirnya memberi kesan kepada pendapatan masyarakat luar bandar, termasuk kos membawa hasil pertanian dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan mekanisme kuota tambahan berdasarkan keperluan dan kategori pengguna, khususnya petani, pekebun kecil serta penduduk pedalaman yang menggunakan kenderaan diesel untuk mencari rezeki.

Dalam masa sama, Riduan menggesa penguatkuasaan terhadap ketirisan dan penyeludupan diesel terus diperkasakan, termasuk pemantauan di sempadan, rantaian bekalan dan transaksi bahan api.

“Ketirisan perlu ditutup pada puncanya, bukannya dengan mengehadkan keperluan rakyat Sabah yang benar-benar memerlukan diesel untuk kehidupan dan pekerjaan mereka,” katanya.

Riduan berkata, beliau percaya matlamat penyasaran subsidi adalah baik, namun pelaksanaannya perlu lebih fleksibel bagi mengambil kira realiti berbeza yang dihadapi Sabah.

“Subsidi bersasar perlu menyasarkan pihak yang layak, bukannya mengehadkan mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.-pr/BNN