KUANTAN: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan bagi meninjau secara dekat operasi jeti pendaratan serta aktiviti pengendalian hasil perikanan di kompleks berkenaan.

Lawatan diketuai Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar, bersama ahli Lembaga Pengarah dan pegawai SAFMA serta disambut Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PERNEPA), Zalina Mohamed.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian usaha SAFMA memperkukuh hubungan kerjasama, di samping bertukar pandangan dan pengalaman berkaitan pengurusan industri perikanan, khususnya aspek pendaratan, pengendalian dan pemasaran hasil laut.

Rombongan berkesempatan meninjau sendiri aktiviti pendaratan hasil tangkapan nelayan serta proses pengendalian ikan di jeti berkenaan.

Burhan berkata, lawatan seumpama itu amat penting bagi memberi pendedahan kepada SAFMA mengenai pendekatan dan kaedah pengurusan operasi yang dilaksanakan di LKIM Kuantan.

“Perkongsian pengalaman seperti ini amat bernilai kerana setiap kawasan mempunyai pendekatan dan cabaran tersendiri dalam menguruskan industri perikanan.

“Melalui lawatan ini, kita dapat melihat sendiri operasi di lapangan, bertukar pandangan serta mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada industri dan komuniti nelayan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Zalina Mohamed dan pihak PERNEPA atas sambutan serta perkongsian maklumat sepanjang lawatan berkenaan.

Menurutnya, jaringan kerjasama antara SAFMA, persatuan nelayan dan agensi berkaitan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan sektor perikanan dapat berkembang secara mampan serta memberi manfaat kepada nelayan dan pengguna.-pr/BNN