KENINGAU: Persatuan Hakka Keningau terus memperkukuh usaha memelihara warisan dan budaya masyarakat Hakka menerusi Majlis Makan Malam Penghormatan Warga Emas Sempena Pertengahan Musim Luruh 2026, pada 12 September ini.
Majlis anjuran bersama Persatuan Hakka Keningau dan Pemuda Persatuan itu akan berlangsung jam 6.30 petang di Dewan SJK(C) Yuk Kong, Batu 27, Keningau, turut digabungkan dengan Pemilihan Pertandingan Nyanyian Bahasa Cina Ke-34 dan Pemilihan Pertandingan Lagu Pop Hakka Ke-13.
Presiden Persatuan Hakka Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, berkata sambutan berkenaan bukan sekadar acara perayaan, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh hubungan kekeluargaan serta memastikan budaya tradisi masyarakat Hakka terus dipelihara.
Beliau berkata, penghormatan terhadap warga emas juga penting bagi memastikan nilai dan warisan generasi terdahulu dapat diteruskan oleh generasi baharu.
“Apabila sebuah masyarakat masih menghargai jasa generasi terdahulu, di situlah akar budaya terus hidup,” katanya.
Dalam persiapan menjelang majlis itu, Anthony bersama Setiausaha Agung, Chee Mui Len, Bendahari, Gary Lin dan barisan jawatankuasa mengadakan kunjungan mesra bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada tokoh kehormat.
Antaranya termasuk Tetamu Kehormat, Prof Datuk Yap Yun Fook yang dijemput merasmikan majlis, selain Presiden Kehormat Seumur Hidup, Liew Ket Lim serta Penasihat Kehormat Seumur Hidup, Datuk Liew Kuat Kiong, Tham Vui Pin dan Lo Yin Kong.
Anthony turut mengalu-alukan kehadiran ahli persatuan dan masyarakat umum serta merakamkan penghargaan kepada semua tokoh kehormat dan jawatankuasa kerja atas sokongan serta komitmen dalam menjayakan program berkenaan.-Oleh Paul Ukau/BNN





