KUALA LUMPUR: Taanusiya Chetty mencipta sejarah apabila muncul Naib Johan Ketiga (Second Runner-up) Miss World 2026, selain dinobatkan sebagai Miss World Asia dan pemenang Beauty With a Purpose, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik Malaysia di pentas Miss World selepas 28 tahun.

Kejayaan itu dicapai pada final Miss World ke-73 di Nha Trang, Vietnam, yang menyaksikan Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominican dinobatkan sebagai Miss World 2026, manakala Elisabeth Reynés dari Sepanyol muncul naib juara pertama.

Pencapaian Taanusiya menyamai kejayaan pelakon, pengacara televisyen dan model Malaysia, Lina Teoh, yang turut menduduki tempat ketiga pada Miss World 1998.

Lebih bermakna, kemenangan Beauty With a Purpose melayakkan Taanusiya menjalankan peranan sebagai duta program berkenaan, termasuk berpeluang mengembara ke peringkat antarabangsa bersama Miss World dan pasukannya bagi menyertai pelbagai inisiatif kemanusiaan.

Taanusiya, seorang guru dan aktivis sosial, mengasaskan Be The Change Malaysia pada 2022 dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan kanak-kanak dan komuniti kurang mendapat perhatian menerusi pendidikan, bimbingan serta program kemanusiaan.

Antara inisiatifnya ialah Project CAHAYA, yang mewujudkan program persekolahan khusus di hospital untuk kanak-kanak Orang Asli yang sedang menjalani rawatan, bagi memastikan mereka dapat meneruskan pendidikan sepanjang tempoh mendapatkan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive Entertainment dan pemegang lesen Miss World Malaysia, Dr Sean Wong, berkata kejayaan Taanusiya bukan sekadar pencapaian individu, sebaliknya membuka peluang lebih besar untuk memperluas gerakan kemanusiaan yang diterajui golongan muda Malaysia.

Katanya, pengiktirafan itu turut memberikan platform antarabangsa kepada Taanusiya untuk membawa misi kemanusiaan Malaysia ke peringkat lebih luas.

Sementara itu, Taanusiya menyifatkan kejayaannya sebagai milik seluruh rakyat Malaysia, selain mengucapkan penghargaan kepada kerajaan, agensi, penaja, penderma, keluarga, sukarelawan, media dan semua pihak yang menyokong perjalanan serta usaha kemanusiaannya.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya membawa tanggungjawab lebih besar untuk memperluas usaha Be The Change Malaysia dalam membantu kanak-kanak, memperkasa golongan muda dan mengukuhkan komuniti.

Miss World, yang diasaskan pada 1951, meraikan ulang tahun ke-75 pada tahun ini dengan misi Beauty With a Purpose sebagai teras utama, menggalakkan peserta menggunakan platform dan pengaruh mereka untuk membantu masyarakat serta memperjuangkan isu kemanusiaan.

Kejayaan Taanusiya diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat bagi memperluas inisiatif sosial serta memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda Malaysia untuk menerajui projek berimpak tinggi.-BNN