KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri berharap penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan kepada negeri itu dapat disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu turut dibangkitkan dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Bil.1/2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
“Untuk makluman juga, kita bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ada mohon pertimbangan terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya.
“Jadi kita ingin supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan. Itu bagi pihak negeri Sabah,” katanya pada sidang media bersama PMX dan Premier Sarawak selepas mesyuarat itu.
Sementara itu, sebagai langkah interim, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah segera mulai tahun ini ke RM1.5 bilion.
Anwar berkata rundingan mengenai perkara itu akan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian asal.
“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini RM1.5 bilion sebagai langkah interim.Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya.
Beliau berkata kerajaan dijangka membawa kertas berkaitan perkara itu ke Parlimen pada Oktober sebelum jumlah RM1.5 bilion tersebut disalurkan kepada Sabah, kemungkinan pada akhir Oktober atau awal November.
Perdana Menteri juga berkata, Jemaah Menteri pada Rabu lalu telah bersetuju dan meluluskan prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan nisbah perwakilan mereka.
Turut hadir pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.-pr/BNN





