KOTA KINABALU: Anak jati Tambunan, Adeola Fay Robert, mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Atlet berusia 20 tahun itu menjuarai acara Kumite Wanita Bawah 55 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada aksi final di Gimnasium Toyohashi.
Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dalam hantaran di Facebook berkata, Adeola terlebih dahulu menewaskan Asrar Jasem dari Kuwait 9-1, diikuti kemenangan 8-7 ke atas Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan.
Pada separuh akhir, atlet Sabah itu menundukkan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 untuk melangkah ke final.
Dalam aksi penentuan, Adeola bermula cemerlang dengan mendahului 4-0 sebelum Saeidabadi cuba mengejar, namun anak Sabah itu kekal tenang untuk mengesahkan kemenangan 6-4.
Menurut MSN Sabah, kejayaan itu lebih bermakna selepas Adeola sebelum ini membantu skuad Kumite Berpasukan Wanita Sabah meraih emas pada SUKMA XXII Selangor 2026.
“Daripada emas bersama pasukan Sabah di SUKMA, kini emas bersama Malaysia di Sukan Asia. Dua pentas. Dua detik bersejarah. Seorang anak Sabah yang terus melangkah lebih jauh,” menurut hantaran itu.
MSN Sabah turut merakamkan tahniah kepada Adeola, sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat kepada atlet muda negeri berkenaan bahawa pentas Asia bukan terlalu jauh untuk ditawan.-pr/BNN




