KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, TYT Jodi Robinson, di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Hajiji mengalu-alukan kunjungan TYT Jodi Robinson dan berharap hubungan baik antara Sabah dengan Kanada dapat terus diperkukuh, khususnya melalui penerokaan peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan.
Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri memaklumkan mengenai fokus Sabah dalam sektor Ekonomi Biru (Blue Economy), termasuk potensi sektor akuakultur, yang mempunyai ruang untuk diterokai bersama pelabur dan rakan strategik dari Kanada.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sabah mempunyai pelbagai taman perindustrian yang bersedia menerima pelaburan asing, termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kawasan Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Kudat Blue Economy Industrial Park, Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan lain-lain.
Hajiji berharap kunjungan itu dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama dan peluang pelaburan Kanada di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.
Kanada sebelum ini menyatakan hasrat memperluas hubungan dua hala dan perdagangan dengan Malaysia dalam sektor termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kecerdasan buatan (Al), semikonduktor serta pertukaran pendidikan.-pr/BNN





