KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mempertingkatkan peranan dalam penyediaan pendidikan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan agenda pembangunan modal insan Yayasan Sabah, KTYS perlu terus responsif terhadap perubahan industri, teknologi dan keperluan tenaga kerja negeri.

“Pasaran kerja hari ini tidak hanya menuntut kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga menuntut kemahiran teknikal yang tinggi, pemikiran kritikal, dan keupayaan adaptasi yang cepat. Di sinilah peranan institusi seperti KTYS menjadi sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen KTYS ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata pihak pengurusan dan seluruh warga KTYS perlu terus meningkatkan mutu program pendidikan dan latihan, dengan sentiasa mengambil kira perkembangan industri dan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“Jadikan perkembangan graduan sebagai salah satu ukuran penting keberkesanan program yang ditawarkan. Pengalaman alumni dalam pekerjaan dan pengajian lanjutan serta maklum balas pihak industri dan majikan perlu dimanfaatkan untuk menambah baik program pengajian dari semasa ke semasa,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata sebagai ejen perubahan, graduan KTYS pula memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan kemajuan sesebuah negeri berjalan dengan lancar, stabil, dan memberi impak jangka panjang..

“Pada masa yang sama, pihak industri juga perlu memainkan peranan dengan menyediakan peluang latihan, bimbingan, pendedahan dan pengalaman kerja kepada para pelajar,” katanya.

Ketua Menteri mengulangi bahawa dalam Belanjawan Sabah 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta untuk tujuan memperkasa dan membangunkan modal insan bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga aspek spiritual.

“Tahun ini juga menandakan tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. Komitmen ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.

“Ukuran kejayaannya adalah sejauh mana lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan memperoleh pekerjaan yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata dalam menjayakan matlamat ini, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting dan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan pendidikan kepada anak-anak negeri ini, termasuk melalui biasiswa dan pinjaman pengajian.

“Selain itu Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan RM40 juta bantuan sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, memberi manfaat secara langsung kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri,” katanya.

Hajiji turut menasihati para graduan bahawa konvokesyen bukanlah titik akhir kepada pendidikan, sebaliknya, ia menandakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dan membuka lembaran baharu bagi menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negeri.

“Jagalah nama baik diri, keluarga dan KTYS melalui tindakan serta sumbangan saudara dan saudari. Jadilah individu yang boleh dipercayai, berintegriti dan bersedia memikul tanggungjawab apabila berada di luar sana.

“Memasuki alam pekerjaan, gunakanlah segala ilmu yang diperoleh sepanjang berada di KTYS untuk berinovasi,” katanya.-pr/BNN