KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, sempena persaraan beliau di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Pertemuan itu menjadi kesempatan bagi Hajiji merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Razali atas khidmat bakti, komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

Hajiji turut menghargai peranan Mohd Razali dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya jabatan dan agensi Persekutuan dalam menyokong pelaksanaan agenda pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berharap hubungan baik dan sinergi yang terjalin antara kedua-dua kerajaan akan terus diperkukuh demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Mohd Razali pula merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah.

Beliau dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 2 September 2025, menggantikan Dato Seri Haji Rosli Isa yang bersara pada 26 Ogos tahun sama, dan akan bersara wajib pada 14 Oktober 2026.

Pada pertemuan itu, Hajiji turut menyampaikan ucapan selamat bersara kepada Mohd Razali serta mendoakan beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kehidupan yang bahagia bersama keluarga selepas menamatkan perkhidmatan.-pr/BNN